18.11.06

Melayu Perlu Cauvinistik

Orang Melayu tidak seharusnya alpa tentang definasi sejarah mereka dari kacamata Barat. Ini kerana, mengikut kajian mereka sejak lebih 100 tahun dahulu, keterbukaan dan penerimaan orang Melayu ke atas sistem yang mereka perkenalkan suatu ketika dahulu ditafsirkan mengikut pandangan yang sinis.

Lantaran itu, kemasukan penghijrah dari bangsa yang lain dialu-alukan bagi memenuhi impian mereka untuk mempercepatkan pembangunan sumber manusia yang sangat mereka perlukan. Ini terpaksa dilakukan apabila tiada penganggur Melayu yang wujud ketika itu kerana pada ketika itu, setiap orang Melayu telah mempunyai komitmen sendiri terhadap kegiatan sara diri masing-masing.

Selepas lebih separuh abad, saatnegara mencapai kemerdekaan, telah nyata bahawa orang Melayu sendiri mengilhamkan untuk membentuk sebuah negara yang mempunyai demografi yang turut dibentuk oleh penghijrah. Hakikat ini adalah bersyarat tetapi selepas 50 tahun, ianya seolah-olah tidak pernah berlaku pada pemikiran oportunis yang diberi mandat untuk bersuara.

Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, orang Melayu dilihat tercari-cari arah untuk memperkasakan ekonominya dengan diwarnai percanggahan mengenai ekuiti, persoalan berhubung perlembagaan dan kehilangan jati diri yang kebanyakannya tercetus hasil sosiologi yang teradun sepanjang tempoh pasca kemerdekaan.

Dalam satu perhimpunan agung parti Melayu terbesar pada tahun 2006, tercetus semangat untuk memberi nafas baru pada nasionalisma Melayu dengan usul-usul yang dilihat dapat menzahirkan keperkasaan bangsa Melayu.

Pengukuhan Bahasa Melayu sebagai medium kebangsaan, tulisan jawi sebagai lambang sejarah jati diri, pegangan agama sebagai lambang syiar yang teguh serta subjek ekonomi sebagai agenda besar menjadi perbahasan penting sehingga menjemput reaksi yang bukan kecil.

Apakah silapnya apabila isu begini perlu ditegaskan dalam perhimpunan parti Melayu yang cukup besar dan penting pada usia parti tersebut melebihi 60 tahun dan sejak nasionalisma Melayu mula tersemai lebih 120 tahun yang lalu? Tambahan lagi di saat mata dan telinga dunia secara terang atau senyap sedang mengikuti perkembangan politik negara ini.

Ini adalah kerana ianya merupakan kesan dari sikap orang Melayu sendiri yang dilihat agak skeptikal terhadap keupayaan mereka sendiri. Kesan dari sikap ini, orang Melayu lebih gemar menggunakan sumber yang memudahkan kehidupan natijah dari sikap mesra dan toleran mereka terhadap pendatang luar Nusantara yang sejak ratusan tahun dahulu telah sedar akan keuntungan yang bakal mereka peroleh apabila berurusan dengan orang Melayu.

Seruan untuk mempertingkatkan ekonomi kaum Melayu telah mula didengari sejak tragedi 13 Mei 1969. Seiring dengan tempoh 40 tahun usaha memperkasakan ekonomi orang Melayu dilaksanakan, iklim perdagangan dunia membesar ke tahap yang tidak mungkin terfikir oleh arkitek ekonomi negara terdahulu.

Hari ini, ekonomi orang Melayu semakin mengecil apabila indikasi ekonomi negara ini tergabung dengan piawaian sistem ekonomi terbuka. Hasrat kerajaan untuk membantu orang Melayu dibuat dengan penuh ketelusan dan sentiasa dihebahkan secara umum. Kesan dari ini hujah berhubung prinsip kesamarataan mula kedengaran dan penyakit ini tertular difikiran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Memang benar golongan yang mempersoalkan dasar yang diambil dalam mempertahankan perlembagaan dan dasar memakmurkan pribumi yang tersisih kesan sistem ekonomi penjajah ialah golongan sama ada buta sejarah atau berniat jahat namun berapa lamakah lagi untuk orang Melayu meletakkan diri mereka sendiri pada halaman perbahasan tak berkesudahan ini.

Ramai pemimpin politik Melayu mempunyai cita-cita untuk menjaguhi isu berhubung ekonomi Melayu. Tetapi benarkah mereka benar-benar berhati ultra-Melayu? Benarkah mereka mengutamakan bangsa sendiri dalam segala segi?

Sikap ultra-Melayu yang dimaksudkan ialah semangat dari hati yang paling dalam untuk mempertingkatkan taraf hidup orang Melayu hingga ke tahap yang boleh dibanggakan. Ini tidak mungkin terjadi sekiranya orang Melayu terus dibiar didodoikan dengan hiburan, material dan keghairahan untuk menjadi hamba perkembangan gaya dan fesyen.

Pemimpin Melayu harus mempunyai jiwa untuk merancang kaedah motivasi dan kesedaran dengan pendekatan yang berbeza-beza mengikut lapisan umur yang diperincikan. Survival bangsa serta halatujunya perlu diserapkan kepada orang Melayu supaya tersemat difikiran mereka bahawa memperoleh kejayaan diri sebagai peraturan hidup.

Namun, amat malang apabila disebalik laungan memperkasakan bangsa digahkan, sikap dan mentaliti kebanyakan dari orang Melayu tetap sama. Mencari sesuatu yang mudah, murah, senang dan pada masa yang sama membataskan kepuasan mereka pada sesuatu yang mudah diperoleh.

Industri tekstil, elektronik, pembinaan, pertukangan, makanan mentah dan pengangkutan swasta semuanya ditawarkan dengan nilai yang serendah mungkin oleh kaum bukan Melayu. Akibat dari sikap mengambil jalan yang memuaskan hati, mudah, murah dan ketiadaan sifat chauvinistik, orang Melayu menyumbangkan lebih tiga perempat kuasa perbelanjaan mereka kepada kaum bukan Melayu.

Hal ini menjadi asam garam hidup majoriti orang Melayu termasuk di kalangan pemimpinnya sendiri. Ianya seolah-olah tidak dipedulikan tetapi apabila diperkatakan tentang ekonomi bangsa, ramai yang tersentak lalu mengusulkan cadangan-cadangan yang diinspirasikan hasil dari petunjuk semasa namun gagal mencetuskan kesedaran yang menyeluruh.

Dasar-dasar membantu orang Melayu yang dicetuskan terdedah kepada jalan kegagalan apabila semangat ultra-Melayu itu sendiri pudar atau langsung tidak ada. Bukankah sikap cauvinistik telah meletakkan ekonomi kaum Cina ke tahap yang dapat dibanggakan?

Ekonomi bangsa Melayu mampu untuk meningkat secara drastik hanya apabila berlaku revolusi minda besar-besaran yang belum pernah terjadi dalam peradaban Melayu. Revolusi yang menuntut kesedaran mutlak orang Melayu amat penting dalam perjalanan survivalnya.

Revolusi ini tidak memungkinkan ketidakstabilan kaum kerana ianya merupakan urusan orang Melayu semata-mata dan ianya merupakan garapan dari kaedah yang digunapakai oleh kaum bukan Melayu yang telah maju ekonominya.

Pemikiran dan sikap mengutamakan bangsa sendiri dalam urusan yang melibatkan ekonomi perlu ada dari sekecil perdagangan dan sebesar-besar urusan demi survival bangsa. Memang pedih untuk berhadapan dengan hakikat yang dihadapi orang Melayu hari ini apabila kuasa beli mereka yang telah memperkayakan golongan pedagang dibalas dengan pandangan sinis dan sanggahan nakal yang menguji kesabaran.

Maka dengan itu, telah tiba masanya untuk orang Melayu membersihkan lumpur yang terpalit dan mula berubah untuk membentuk kekuatan ekonomi yang drastik. Selain dari hanya memikirkan kemudahan yang ditawarkan, wajar bagi pemimpin-pemimpin Melayu yang melaungkan misi memperkasakan ekonomi bangsa hari ini untuk merevolusikan pemikiran bangsa.

Parti-parti politik yang mewakili orang Melayu seharusnya melupakan percanggahan politik dalam urusan yang melibatkan ekonomi orang Melayu. Orang Melayu yang berjumlah hampir 14 juta di negara ini mampu menjana kemakmuran ekonomi sendiri dengan mula diarahkan untuk menuju matlamat Melayu yang maju.

Setiap pemimpin yang dilihat mewakili kaum-kaum Melayu seharusnya memperjuangkan matlamat ini dengan bukan sekadar kata-kata tetapi dengan idea bernas, kritikal dan tajam yang digerakkan dengan langkah yang mencairkan kebekuan minda segenap lapisan masyarakat Melayu agar semangat kebangsaan Melayu mekar dalam menuntut kejayaan ekonomi.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home