15.3.06

Kelantan Ubat Luka Patani



KRISIS di selatan Thai bagai tidak berkesudahan. Ianya menjadi antara penyebab Malaysia menjadi sasaran tuduhan liar oleh pihak tertentu. Apatah lagi Malaysia turut dibina oleh negeri Kelantan, yang merupakan sebahagian dari Melayu Patani secara sejarahnya. Sebagai langkah untuk mengatasi secara akal krisis ini, adalah menjadi kemestian bagi Kelantan untuk hanya diperintah oleh pihak yang benar-benar mampu. Dengan memajukan Kelantan sebagai antara negeri termaju di Malaysia, selatan Thai akan menjadi zon perbandingan mutlak yang akan secara logiknya memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut. Amatlah malang kerana wilayah Selatan Thai tidak dibangunkan potensi ekonomi yang terdapat padanya. Dengan memajukan negeri-negeri Malaysia di sempadan Thailand, ia akan menjadi kayu ukur yang akhirnya mendesak kemajuan untuk tiba di wilayah selatan Thai. Dengan cara ini, pihak berkuasa Thailand pastinya akan cuba untuk turut memajukan wilayah yang terletak lebih 1000 km dari Bangkok itu. Jika tidak, wilayah tersebut akan membangun sendiri setelah mendapat tempias pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri utara Semenanjung. Dengan membangunkan Kelantan sebagai kawasan yang mempunyai tarikan ekonomi, Malaysia tidak boleh dipersalahkan atas kebergantungan masyarakat selatan Thai ke atas ekonomi negara ini serta kesan dari fenomena tersebut. Hakikatnya, tidak ada alasan untuk wilayah selatan Thai tidak mempunyai tarikan ekonomi jika diukur dari sudut geografi. Mungkin kerana kegagalan proses asimilasi mereka ke atas wilayah tersebut mencetus kurang senang mereka ke atas Melayu Thailand. Atau mungkin Thailand sendiri mengharapkan Malaysia melimpahkan kemakmuran ke atas kaum yang dianggap kepunyaan Malaysia. Malaysia perlu untuk bertindak dari segi ekonomi untuk sedikit mengubah suasana. Kemajuan ekonomi di kawasan hilir Sungai Kelantan amat penting untuk memperlihatkan bahawa perlunya Thailand meletakkan taraf selatan wilayahnya setanding dengan persekitarannya jika mereka masih berminat untuk memerintah rantau Patani. Malaysia dengan ini secara tidak langsung mampu menawarkan peluang pekerjaan misalnya dari sektor perkilangan yang perlu dipergiatkan di Kelantan. Dengan cara ini, masyarakat selatan Thai yang menerima kesan pertumbuhan ekonomi akan secara tidak langsung akan memberi impak ke atas pemerintah Thailand. Dengan kemajuan di negeri-negeri utara Semenanjung, tidak ada sebab untuk wilayah selatan Thai terus-terusan tertindas. Sosio-ekonomi masyarakat selatan Thai amatlah jelas menunjukkan bahawa mereka dilepaskan untuk mencari rezeki di negara ini. Manfaat potensi ekonomi rumpun Melayu, Kelantan yang maju mampu menjadi faktor untuk mengubah persepsi pemerintah Thailand secara teknikal dalam memakmurkan wilayahnya. Ini kerana fenomena ini tidak dapat tidak akan secara tidak sengaja menjejaskan nasionalisma dikalangan rakyatnya sendiri. Usahawan rakyat Malaysia amnya, rakyat Kelantan khususnya, seharusnya menjalankan aktiviti ekonomi dengan meluas di wilayah selatan Thai. Ini kerana wilayah tersebut mempunyai potensi industri makanan halal yang cukup besar. Walaupun orang Melayu rakyat Patani telah ternaung dibawah Thailand, seharusnya wilayah serumpun itu tidak dibiarkan ketinggalan dari segi ekonomi hanya kerana diabai oleh pemerintah mereka. Untuk maksud itu, wajarlah kita cari pendekatan yang sesuai untuk membantu mengubah keadaan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home