13.3.06

Malaysia Raya

Malaysia wujud ditengah Nusantara sebagai sebuah entiti yang mempunyai perspektif yang sangat berbeza. Bermula pada abad ke 5 Masehi, Selat Melaka menjadi laluan sibuk menghubungkan benua bangsa Arab dan India dengan benua bangsa Cina. Animisme menjadi corak kepercayaan suku asal dan terubah bersejajar dengan ketamadunan beragama. Tamadun beragama yang mula-mula wujud adalah dibawah pengaruh Hindu di India pada abad ke 7 namun masih mempunyai kepercayaan animisme yang kuat. Kemudian tamadun itu terpengaruh dengan kepercayaan Buddha yang dipengaruhi Indo China.

Pada abad ke 15, Tamadun Islam menggantikan Tamadun Hindu-Buddha-Animisme dan kekal menjadi pegangan majoriti bangsa asal di kepulauan Asia Tenggara kecuali Filipina yang dikristiankan pada abad ke 16 oleh Sepanyol. Abad ke 16 telah menyebabkan runtuhnya ketamadunan Islam Melaka yang menaungi beberapa Kerajaan kecil; hanya bertahan kira-kira 110 tahun akibat serangan Portugis. Pendudukan pertama Barat di kepulauan Melayu pada 1511 itu menyebabkan wujudnya kesultanan-kesultanan kecil di seluruh kepulauan Melayu.

Selama runtuhnya kesultanan Melaka, kesultanan Aceh, Patani, Johor-Riau dan kerajaan Jawa menjadi kerajaan-kerajaan utama kepulauan Melayu yang menerap nilai Islam dalam pentadbiran mereka.

Selepas hampir 300 tahun, rantau kepulauan Melayu tidak digugat secara besar-besaran sehinggalah Belanda mula meluaskan penguasaan mereka di seluruh kepulauan Melayu akibat kejayaan Inggeris menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786. Kesan dari Perang Napoleon, Belanda yang bersekutu dengan Inggeris ketika menentang Perancis di Eropah telah melahirkan perjanjian yang mengubah sempadan kepulauan Melayu pada tahun 1824. Perjanjian ini merupakan asas lahirnya Malaysia dan Indonesia hari ini.

Namun, kepulauan Filipina kekal diluar perjanjian Inggeris Belanda apabila ianya kukuh ditakluk Sepanyol. Kerajaan Brunei yang menguasai separuh pulau Borneo pula ditumpaskan oleh James Brooke dan syarikat perniagaan Amerika yang mengecilkan kesultanan tersebut sehingga saiznya hari ini.

Penguasaan Inggeris ke atas tanah Melayu, negara Sarawak dan penjualan negara Borneo Utara kepada syarikat Inggeris meletakkan asas kepada pembentukan Malaysia hari ini. Sementara penguasaan Belanda ke atas baki keluasan kepulauan Melayu mewujudkan nasionalisma tersendiri yang membentuk sebuah negara bernama Indonesia hari ini.

Pengkaji kebudayaan zaman penjajahan Inggeris Belanda mendefinisikan kepulauan Melayu dengan nama Malaysia. Namun apabila Belanda gagal merampas jajahannya yang dibebaskan oleh Jepun pada tahun 1945, nasionalis penentang Belanda menubuhkan kerajaan bernama Indonesia yang diiktiraf pembebasnya, Jepun. Mereka turut membawa angin penentangan ke atas Inggeris dalam membebaskan tanah Melayu, dan pantai utara Borneo. Mereka gagal mendapatkan mandat dalam mempengaruhi tanah Melayu untuk menjadi sebahagian Indonesia selepas penentangan Melayu pada 1946 berjaya menyelamatkan raja-raja Melayu yang hendak dimansuhkan Inggeris. Ini menyebabkan doktrin republik Indonesia menjadi tidak popular.

Kesan dari itu, wujud pula era konfrontasi 1960an yang hampir hampir mencetus peperangan. Campurtangan Amerika Syarikat dan Inggeris yang menyebelahi Malaysia pada ketika itu turut mengeruhkan keadaan. Selepas Suharto mengambil alih tampuk kuasa, suasana menjadi tenang sehingga masing-masing berusaha meningkatkan produktiviti setelah wujudnya negara perbandaran Cina bernama Singapura yang dipisahkan dari Malaysia pada tahun 1965 dan mengepalai pertumbuhan ekonomi kepulauan Melayu.

Pada tahun 1980an, wujud pula dasar pengambilan tenaga kerja Indonesia secara besar-besaran dan dasar tersebut masih diamalkan sehingga hari ini. Perbezaan kemakmuran ekonomi mengakibatkan hari ini terdapat lebih 2 juta tenaga kerja Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia dan mencetus fenomena-fenomena yang dapat dilihat hari ini.

Secara logikalnya, Malaysia adalah Indonesia dan Indonesia adalah Malaysia yang dibezakan sejak 182 tahun yang lalu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home