28.3.06

Percaturan Singapura

Bagaimanakah Singapura tiba-tiba wujud di Asia Tenggara? Kewujudan sebuah negara bandar di atas pulau yang dihuni majoriti pendatang Asia Timur era British merupakan hakikat yang ironik ditengah-tengah rantau 250 juta orang penduduk Nusantara.
Apakah Singapura relevan kewujudannya. Jika dilihat pada awal tahun 1960an, sedekad setelah doktrin republik Indonesia gagal meletakkan semenanjung Tanah Melayu di bawah pemerintahan Jakarta, krisis timbul apabila hubungan British dan Malaya memberikan kelebihan kepada Kuala Lumpur untuk membawa Sarawak dan North Borneo mewujudkan negara bernama Malaysia. Pada 16 September 1963, Sarawak dan North Borneo yang dinamakan semula sebagai Sabah, diisythiarkan menyertai Malaya membentuk Malaysia setelah pungutan suara yang dianjurkan oleh PBB dilakukan. 80% pemilih memilih untuk menyertai Kuala Lumpur.
Kesan dari itu, Indonesia menjalankan penentangan besar-besaran bagi menuntut kembali wilayah yang kononnya milik mereka. Bermula dari itulah konfrontasi bermula dan berlarutan hampir 2 tahun sehingga kejatuhan presiden Sukarno pada tahun 1965.
Ramai yang tidak melihat mainan Barat dalam kewujudan Singapura. Desakan Amerika Syarikat dan Britain yang menyokong Malaysia sepanjang konfrontasi Malaysia-Indonesia membawa makna besar. Singapura dilanda rusuhan kaum pada ketika Malaysia dan Indonesia bergelut sesama sendiri.
Ini berpunca daripada tuntutan melampau puak-puak radikal yang mengamalkan chauvinisme Cina. Akibatnya Singapura menjadi isu yang perlu diberi kata putus oleh Tunku Abdul Rahman akibat desakan Amerika Syarikat dan Britain.
Keadaan menjadi sangat genting apabila Sukarno tetap mahukan Malaysia ditadbir Jakarta. Tetapi segala-galanya menjadi tenang setelah Singapura dikeluarkan oleh Tunku Abdul Rahman walaupun terdapat tentangan dari sesetengah pemimpin UMNO. Sukarno berganti Suharto. Segalanya pada 1965.
Apakah kewujudan Singapura merupakan caturan Barat ke atas Nusantara? Bagaimanakah untuk kita membawa Singapura mencapai satu aspirasi yang berkepentingan rantau Nusantara?
Persoalan akan tetap tidak terjawab selagi penduduk rantau Nusantara tidak bersatu.

15.3.06

Kelantan Ubat Luka Patani



KRISIS di selatan Thai bagai tidak berkesudahan. Ianya menjadi antara penyebab Malaysia menjadi sasaran tuduhan liar oleh pihak tertentu. Apatah lagi Malaysia turut dibina oleh negeri Kelantan, yang merupakan sebahagian dari Melayu Patani secara sejarahnya. Sebagai langkah untuk mengatasi secara akal krisis ini, adalah menjadi kemestian bagi Kelantan untuk hanya diperintah oleh pihak yang benar-benar mampu. Dengan memajukan Kelantan sebagai antara negeri termaju di Malaysia, selatan Thai akan menjadi zon perbandingan mutlak yang akan secara logiknya memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut. Amatlah malang kerana wilayah Selatan Thai tidak dibangunkan potensi ekonomi yang terdapat padanya. Dengan memajukan negeri-negeri Malaysia di sempadan Thailand, ia akan menjadi kayu ukur yang akhirnya mendesak kemajuan untuk tiba di wilayah selatan Thai. Dengan cara ini, pihak berkuasa Thailand pastinya akan cuba untuk turut memajukan wilayah yang terletak lebih 1000 km dari Bangkok itu. Jika tidak, wilayah tersebut akan membangun sendiri setelah mendapat tempias pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri utara Semenanjung. Dengan membangunkan Kelantan sebagai kawasan yang mempunyai tarikan ekonomi, Malaysia tidak boleh dipersalahkan atas kebergantungan masyarakat selatan Thai ke atas ekonomi negara ini serta kesan dari fenomena tersebut. Hakikatnya, tidak ada alasan untuk wilayah selatan Thai tidak mempunyai tarikan ekonomi jika diukur dari sudut geografi. Mungkin kerana kegagalan proses asimilasi mereka ke atas wilayah tersebut mencetus kurang senang mereka ke atas Melayu Thailand. Atau mungkin Thailand sendiri mengharapkan Malaysia melimpahkan kemakmuran ke atas kaum yang dianggap kepunyaan Malaysia. Malaysia perlu untuk bertindak dari segi ekonomi untuk sedikit mengubah suasana. Kemajuan ekonomi di kawasan hilir Sungai Kelantan amat penting untuk memperlihatkan bahawa perlunya Thailand meletakkan taraf selatan wilayahnya setanding dengan persekitarannya jika mereka masih berminat untuk memerintah rantau Patani. Malaysia dengan ini secara tidak langsung mampu menawarkan peluang pekerjaan misalnya dari sektor perkilangan yang perlu dipergiatkan di Kelantan. Dengan cara ini, masyarakat selatan Thai yang menerima kesan pertumbuhan ekonomi akan secara tidak langsung akan memberi impak ke atas pemerintah Thailand. Dengan kemajuan di negeri-negeri utara Semenanjung, tidak ada sebab untuk wilayah selatan Thai terus-terusan tertindas. Sosio-ekonomi masyarakat selatan Thai amatlah jelas menunjukkan bahawa mereka dilepaskan untuk mencari rezeki di negara ini. Manfaat potensi ekonomi rumpun Melayu, Kelantan yang maju mampu menjadi faktor untuk mengubah persepsi pemerintah Thailand secara teknikal dalam memakmurkan wilayahnya. Ini kerana fenomena ini tidak dapat tidak akan secara tidak sengaja menjejaskan nasionalisma dikalangan rakyatnya sendiri. Usahawan rakyat Malaysia amnya, rakyat Kelantan khususnya, seharusnya menjalankan aktiviti ekonomi dengan meluas di wilayah selatan Thai. Ini kerana wilayah tersebut mempunyai potensi industri makanan halal yang cukup besar. Walaupun orang Melayu rakyat Patani telah ternaung dibawah Thailand, seharusnya wilayah serumpun itu tidak dibiarkan ketinggalan dari segi ekonomi hanya kerana diabai oleh pemerintah mereka. Untuk maksud itu, wajarlah kita cari pendekatan yang sesuai untuk membantu mengubah keadaan.

13.3.06

Suburkan Nasionalisma

Apakah yang dimaksudkan dengan nasionalisma hari ini. Apa pula erti nasionalisma hari ini di mana negara menghadapi cabaran amat getir bagi melestarikan ekonomi untuk dipacu ke arah negara maju pada tahun 2020. Ini telah menjadi sesuatu yang sangat memerlukan penelitian dan usaha keras untuk mendidik rakyat untuk lebih memahami tanggungjawab berat kerajaan.

Malaysia diuji dengan cabaran global dan cabaran mendidik masyarakat sendiri. Nasionalisma semakin terhakis kesan dari fundamentalisme dan liberalisasi yang turut mecetuskan konflik lebih terperinci sesama dua puak ini. Sementara elemen peringkat antarabangsa memerlukan caturan yang bijaksana apatah lagi sebagai sebuah negara Islam yang dilihat sebagai antara paling moden dan maju.

Iklim antarabangsa yang bersuhukan perbalahan Barat dan Islam turut menjadi sebahagian unsur yang diambil kira dalam membina Malaysia masa depan. Sebagai negara yang terbentuk di dalam wilayah yang diislamkan sekitar 500 tahun lalu, Malaysia kekal dihuni oleh majoriti orang Islam dan politik Malaysia sendiri mempunyai lebih 20% pengaruh parti bersuara Islam. Namun dari itu, parti demokratik yang sejarahnya diwarnai oleh pejuang pro-komunis iaitu DAP, turut memiliki kekuatan suara yang sama. Parti campuran, Barisan Nasional yang ditunjang oleh parti Melayu UMNO, berjaya memulihkan ketunjangannya di dalam Barisan Nasional setelah berjaya mendapat sokongan dua pertiga orang Melayu atau kira-kira 4 juta pengundi Islam pada pilihanraya ke 11 tahun 2004.

Seharusnya, orang Melayu bersatu kembali untuk teguh dibelakang kerajaan dalam usaha untuk menguatkan penguasaan bangsa dan negara dalam ekonomi dan ilmu bagi memantapkan kembali ekonomi Melayu dan berjihad untuk mengembalikan kekuatan ekonomi Islam di Malaysia dan tidak mudah leka dengan mainan korporat.

Malaysia Raya

Malaysia wujud ditengah Nusantara sebagai sebuah entiti yang mempunyai perspektif yang sangat berbeza. Bermula pada abad ke 5 Masehi, Selat Melaka menjadi laluan sibuk menghubungkan benua bangsa Arab dan India dengan benua bangsa Cina. Animisme menjadi corak kepercayaan suku asal dan terubah bersejajar dengan ketamadunan beragama. Tamadun beragama yang mula-mula wujud adalah dibawah pengaruh Hindu di India pada abad ke 7 namun masih mempunyai kepercayaan animisme yang kuat. Kemudian tamadun itu terpengaruh dengan kepercayaan Buddha yang dipengaruhi Indo China.

Pada abad ke 15, Tamadun Islam menggantikan Tamadun Hindu-Buddha-Animisme dan kekal menjadi pegangan majoriti bangsa asal di kepulauan Asia Tenggara kecuali Filipina yang dikristiankan pada abad ke 16 oleh Sepanyol. Abad ke 16 telah menyebabkan runtuhnya ketamadunan Islam Melaka yang menaungi beberapa Kerajaan kecil; hanya bertahan kira-kira 110 tahun akibat serangan Portugis. Pendudukan pertama Barat di kepulauan Melayu pada 1511 itu menyebabkan wujudnya kesultanan-kesultanan kecil di seluruh kepulauan Melayu.

Selama runtuhnya kesultanan Melaka, kesultanan Aceh, Patani, Johor-Riau dan kerajaan Jawa menjadi kerajaan-kerajaan utama kepulauan Melayu yang menerap nilai Islam dalam pentadbiran mereka.

Selepas hampir 300 tahun, rantau kepulauan Melayu tidak digugat secara besar-besaran sehinggalah Belanda mula meluaskan penguasaan mereka di seluruh kepulauan Melayu akibat kejayaan Inggeris menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786. Kesan dari Perang Napoleon, Belanda yang bersekutu dengan Inggeris ketika menentang Perancis di Eropah telah melahirkan perjanjian yang mengubah sempadan kepulauan Melayu pada tahun 1824. Perjanjian ini merupakan asas lahirnya Malaysia dan Indonesia hari ini.

Namun, kepulauan Filipina kekal diluar perjanjian Inggeris Belanda apabila ianya kukuh ditakluk Sepanyol. Kerajaan Brunei yang menguasai separuh pulau Borneo pula ditumpaskan oleh James Brooke dan syarikat perniagaan Amerika yang mengecilkan kesultanan tersebut sehingga saiznya hari ini.

Penguasaan Inggeris ke atas tanah Melayu, negara Sarawak dan penjualan negara Borneo Utara kepada syarikat Inggeris meletakkan asas kepada pembentukan Malaysia hari ini. Sementara penguasaan Belanda ke atas baki keluasan kepulauan Melayu mewujudkan nasionalisma tersendiri yang membentuk sebuah negara bernama Indonesia hari ini.

Pengkaji kebudayaan zaman penjajahan Inggeris Belanda mendefinisikan kepulauan Melayu dengan nama Malaysia. Namun apabila Belanda gagal merampas jajahannya yang dibebaskan oleh Jepun pada tahun 1945, nasionalis penentang Belanda menubuhkan kerajaan bernama Indonesia yang diiktiraf pembebasnya, Jepun. Mereka turut membawa angin penentangan ke atas Inggeris dalam membebaskan tanah Melayu, dan pantai utara Borneo. Mereka gagal mendapatkan mandat dalam mempengaruhi tanah Melayu untuk menjadi sebahagian Indonesia selepas penentangan Melayu pada 1946 berjaya menyelamatkan raja-raja Melayu yang hendak dimansuhkan Inggeris. Ini menyebabkan doktrin republik Indonesia menjadi tidak popular.

Kesan dari itu, wujud pula era konfrontasi 1960an yang hampir hampir mencetus peperangan. Campurtangan Amerika Syarikat dan Inggeris yang menyebelahi Malaysia pada ketika itu turut mengeruhkan keadaan. Selepas Suharto mengambil alih tampuk kuasa, suasana menjadi tenang sehingga masing-masing berusaha meningkatkan produktiviti setelah wujudnya negara perbandaran Cina bernama Singapura yang dipisahkan dari Malaysia pada tahun 1965 dan mengepalai pertumbuhan ekonomi kepulauan Melayu.

Pada tahun 1980an, wujud pula dasar pengambilan tenaga kerja Indonesia secara besar-besaran dan dasar tersebut masih diamalkan sehingga hari ini. Perbezaan kemakmuran ekonomi mengakibatkan hari ini terdapat lebih 2 juta tenaga kerja Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia dan mencetus fenomena-fenomena yang dapat dilihat hari ini.

Secara logikalnya, Malaysia adalah Indonesia dan Indonesia adalah Malaysia yang dibezakan sejak 182 tahun yang lalu.